Pages

SPONSOR

Followers

sponsor

Tuesday, January 29, 2013

Mayat tersangkut celah pokok

KARAK – Mayat seorang lelaki ditemui hanyut kira-kira lima kilometer dari tempat dia dipercayai hilang bersama rakannya sejak petang Jumaat lalu.
Mangsa, Mohtar Afendi Abdul Rahman, 31, ditemui pasukan menyelamat di bawah rimbunan pokok Lubuk Timah, Sungai Semantan, dekat sini, kira-kira jam 12.20 tengah hari semalam.

Manakala seorang lagi rakannya, Nik Mohamad Afendi Ismail, 29, masih lagi belum ditemui dan turut dipercayai lemas.

Terdahulu kira-kira jam 2 petang Ahad lalu, seorang operator jentera mengorek pasir, Ng Kok Meng, 42, dimaklumkan pekerjanya berhubung penemuan mayat tersangkut berhampiran tempat mereka bekerja.

Menurut Kok Meng, selepas itu pekerjanya cuba mengikat mayat terbabit untuk dibawa ke tepi sungai, namun gagal kerana mayat itu hanyut semula.

“Walaupun paras air tinggi, namun aliran air tidak deras tetapi mayat hanyut dengan begitu cepat.

“Saya kemudiannya membuat laporan polis berhubung penemuan mayat itu dan apabila polis tiba di tempat kejadian, mayat yang ditemui tadi hilang terus dari pandangan,” katanya.

Kok Meng berkata, sejak hampir dua tahun bekerja di kawasan itu, ini adalah kejadian pertama mayat ditemui di sungai berkenaan.

Keluarga sahkan identiti mayat

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, dalam kejadian Jumaat lalu, kedua-dua mangsa dipercayai lari dari serbuan polis dan bertindak terjun ke dalam sungai, kemudiannya gagal dikesan.

Katanya, kedua-duanya dipercayai tidak pulang ke rumah menyebabkan keluarga membuat laporan polis berhubung perkara itu.

“Susulan laporan polis daripada seorang operator mesin korek pasir berhubung penemuan mayat Ahad lalu, bilik operasi mencari dan menyelamat dibuka pada hari yang sama.

“Bagaimanapun operasi hari pertama terpaksa dihentikan kira-kira jam 7.30 petang dan disambung pada hari ini (semalam),” katanya.

Mohamad Mansor berkata, operasi mencari dan menyelamat pada hari kedua berjaya menemui mayat salah seorang mangsa.

Katanya, mayat yang ditemui masih lengkap berpakaian iaitu berseluar  panjang dan berbaju T.

“Ahli keluarga mangsa membuat pengesahan identiti pada mayat yang ditemui sebelum mayat dibawa ke Hospital Bentong. Punca kematian masih disiasat.

“Sementara itu, rakan mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari masih diteruskan,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan
Sumber

No comments:

Post a Comment

ShareThis