Pages

SPONSOR

Followers

sponsor

Saturday, January 26, 2013

Adik- beradik pmburu ahli sihir

NOVEL berjudul Hansel And Gretel merupakan sebuah karya yang cukup popular di Jerman dan merupakan
sebuah kisah dongeng yang telah dihasilkan oleh pasangan adik-beradik Wilhelm dan Jacob Grimm pada tahun 1812.
Ia mengisahkan tentang pasangan adik-beradik iaitu Hansel dan Gretel yang hidup dalam kemiskinan. Selepas ibu mereka meninggal dunia, bapa mereka berkahwin dengan wanita lain.
Bagaimanapun, nasib kedua-duanya lebih malang lagi kerana mendapat ibu tiri yang jahat. Disebabkan kemiskinan yang melanda, akhirnya Hansel dan Gretel telah ditinggalkan di dalam hutan oleh ibu tiri mereka.
Nasib adik-beradik itu ternyata lebih malang lagi apabila ditangkap pula oleh seorang nenek yang juga ahli sihir, tetapi akhirnya mereka dapat melepaskan diri dengan membunuh ahli sihir tersebut.
Itulah antara sebahagian daripada jalan cerita novel tersebut yang telah dihasilkan kira-kira 201 tahun lalu dan masih lagi terus popular sehingga ke hari ini.
Menariknya, dengan populariti yang diraih novel berkenaan, sebanyak 21 buah filem yang menggunakan judul Hansel & Gretel telah dihasilkan sejak tahun 1909.
Terbaharu, filem berjudul Hansel & Gretel: Witch Hunters yang telah ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia sejak 24 Januari lalu dengan menampilkan lakonan hebat Jeremy Renner dan Gemma Arterton.
Mengambil latar cerita yang sama iaitu mengenai kisah dua beradik iaitu Hansel dan Gratel yang ditinggalkan di dalam hutan, namun apa yang dipaparkan adalah kisah 15 tahun kemudian apabila kedua-duanya menjadi pemburu ahli sihir.
Jeremy yang membawakan watak sebagai Hansel berkata, dia merasakan cukup berbangga kerana dapat membintangi sebuah filem yang berdasarkan kepada sebuah novel yang sangat popular.
"Sehingga kini sudah banyak filem tentang kisah dongeng atau mitos pada zaman dahulu yang telah dihasilkan, namun saya menganggap filem Hansel & Gretel: Witch Hunters sebuah naskhah yang bagus.
"Apabila membaca skrip filem ini saya merasakan jalan ceritanya begitu menarik kerana paparan ceritanya lebih kepada kisah kehidupan pasangan adik-beradik yang sudah dewasa dan bergabung menjadi pemburu ahli sihir," ujarnya.
Bercerita lebih lanjut mengenai filem aksi pengembaraan yang dilakonkannya itu, Jeremy memberitahu untuk filem berkenaan dia tidak perlu membuat persiapan yang terlalu rapi.
Ujarnya, untuk mendalami watak yang dibawakannya itu, persiapan yang dilakukan lebih banyak kepada komunikasi dengan Gemma memandangkan mereka merupakan pasangan adik-beradik dalam filem berkenaan.
"Ketika di lokasi penggambaran saya memang banyak menghabiskan masa berdampingan dengan Gemma. Dengan watak sebagai adik-beradik, kami perlu selalu berbincang supaya dapat mendalami watak masing-masing dengan lebih berkesan.
"Mengenai gandingan bersama Gemma pula, ini kali pertama kami berlakon bersama-sama. Namun begitu, sepanjang mengenalinya saya dapati dia seorang pelakon yang sangat bagus," ujarnya yang pernah membintangi beberapa filem aksi seperti The Avengers dan The Bourne Legacy.
Bagaimanapun, pelakon yang pernah tercalon dalam Anugerah Oscar menerusi filem The Hurt Locker itu secara jujurnya mengakui tidak begitu mengenali Gemma sebelum berlakon bersama-sama.
"Sewaktu mula-mula melihat gambarnya saya bertanya kepada pihak produksi siapakah wanita ini? Kemudian apabila menonton filem lakonannya dan selepas 30 saat bercakap dengannya menerusi telefon, saya dapati dia seorang wanita yang kreatif dan hebat," dedahnya.
Mengenai cabaran sepanjang menjalani penggambaran yang dilakukan di Berlin, Jerman, pelakon berkenaan menyatakan tiada cabaran getir yang terpaksa dilalui termasuk tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut aktor kelahiran California, Amerika Syarikat itu, pihak produksi mempunyai sebuah pasukan lagak ngeri yang telah menjalankan tanggungjawab dengan baik.
Bagaimanapun, dia mengakui terpaksa berlari di dalam kawasan hutan dirasakan sebagai cabaran yang bukan mudah.
"Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan hasil filem yang diarahkan oleh Tommy Wirkola ini. Lagipun ia merupakan filem arahannya yang paling besar dan sudah tentu dia meletakkan harapan tinggi agar ia dapat diterima penonton,
Sumber

No comments:

Post a Comment

ShareThis