Pages

SPONSOR

Followers

sponsor

Thursday, December 6, 2012

Tulang hancur gadis terperosok bawah dinding

pix_middle

GAZA: “Saya hanya mampu melihat anak gadis saya terpelanting dan terperosok di bawah timbunan dinding rumah sebelum mati akibat parah di kepala,” kata Shahida Mohamed, 56, menceritakan detik kematian anaknya selepas rumah mereka dibom tentera Israel, 15 November lalu.

Akibat serangan yang dilakukan ketika azan Maghrib berkumandang itu, Shahida turut parah apabila tulang lutut kaki kirinya hancur ditimpa bumbung rumah manakala anak perempuannya, Yusrah Abdullah, 20, mati serta-merta.

Shahida yang ditemui di Hospital Al Shifa, di sini, berkata, ketika kejadian dia memasak di rumah bersama Yusrah sebelum beberapa jet pejuang F-16 milik Israel melintasi ruang udara Gaza dan menjatuhkan bom dan roket.

“Letupan demi letupan kuat berlaku sebelum dinding dan bumbung rumah kami turut berkecai. Saya terpelanting dan terperosok di bawah timbunan dinding rumah.

“Yusrah mati serta-merta akibat ditimpa tiang dan bumbung rumah di kepala dan saya hanya mampu melihatnya tanpa mampu berbuat apa-apa,” katanya berlinangan air mata.

Kecederaan Shahida akibat serangan tentera Israel itu menyebabkan tulang lutut kakinya pecah manakala isi daging betisnya turut hancur.

Seorang lagi mangsa, Yusuf Kareem, 45, hancur tulang ke dua kakinya akibat ditembak dengan roket milik tentera Israel.

Dalam kejadan 18 November lalu, mangsa cedera parah selepas terkena serpihan peluru roket menusuk masuk ke dalam daging kakinya menyebabkan tulang mangsa patah remuk hampir di semua bahagian.

“Sakit yang saya alami terlalu azab untuk dibayangkan. Tulang kaki saya hancur dan doktor berusaha memulihkannya dengan memasang besi sebagai ganti.

“Saya hanya orang awam yang tidak bersenjata. Mereka (tentera Zionis) seolah-olah mendapat kepuasan dengan membunuh penduduk Gaza,” katanya.

Kesengsaraan sama turut dialami seorang anggota polis Palestin, Usama Mohamad Abu Saad, 48, yang cedera parah ditembak jet pejuang Israel, 18 November lalu.

Dalam kejadian lewat petang itu, beberapa jet pejuang F-16 milik tentera Israel melepaskan roket serta menjatuhkan bom ke arah balai polis terletak di pinggir Gaza City, di sini.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berada tidak jauh dari balai polis berkenaan sebelum berpuluh ledakan kuat berlaku dan meruntuhkan bangunan balai polis itu.

“Pada masa sama, saya ditembak di belakang tubuh dipercayai dilepaskan dari jet pejuang Zionis.

“Akibat tembakan itu, saya tidak sedarkan diri sebelum dipapah orang ramai ke hospital Al Syifa. Memang sakit ketika itu dan saya sangka akan mati,” katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik peluru tidak menembusi organ utama tubuhnya.

Walaupun tidak boleh bergerak kini, saya bersyukur kerana terselamat. Malah, saya mendapat tahu seluruh bangunan balai polis ranap dihujani roket dan bom.

“Ada rakan saya yang mati syahid. Saya cemburu mereka bakal menjadi ahli syurga kerana berjuang untuk Islam,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati bilangan pesakit akibat serangan tentera Zionis bermula 14 November lalu berkurangan di Hospital Khan Younis dan Al Syifa.

Pada masa sama, lebih 10 doktor dari Sudan secara sukarela didapati turut bertugas di hospital itu untuk memberi bantuan kepada pesakit sejak kelmarin. Bantuan kecemasan diberikan NGO antarabangsa dari Tukri dan Mesir termasuk ubat-ubatan dan doktor pakar sedikit sebanyak membantu pihak hospital di Gaza merawat ribuan pesakit yang dihantar ke hospital ketika perang meletus.

Metro

No comments:

Post a Comment

ShareThis