Pages

SPONSOR

Followers

sponsor

Saturday, December 8, 2012

Nahas kali ketiga ragut nyawa

Mayat-Reput-Di-Tangga-Kecemasan

KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut setelah motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta, dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Sultan Mohamad, di hadapan Wisma Peladang, pagi semalam.

Lebih menyayat hati, mangsa, Salleh Kadir, 63, dikatakan pernah dua kali terlibat kemalangan di tempat sama pada tahun lalu dan dua tahun sebelumnya, namun kemalangan ketiga di kawasan itu meragut nyawanya.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisoner Zamri Shamsuddin berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 9.45 pagi semalam, melibatkan sebuah kereta jenis Honda Accord dan dua buah motosikal jenis Modenas Kriss dan Modenas CT 100.
Menurutnya, ketika kejadian, kereta terbabit datang dari arah Batu Burok, menuju ke Manir.
“Berdasarkan laporan awal, pemandu kereta tersebut yang ketika itu di Jalan Sultan Mohamad, memandu di lorong kanan. Bagaimanapun, secara tiba-tiba, mangsa yang ketika itu berada di lorong tengah, telah mengubah haluan masuk ke lorong kanan.
“Kereta tersebut membrek namun terlanggar mangsa disebabkan jarak yang sudah terlalu dekat. Akibat pelanggaran tersebut, pemandu kereta itu juga hilang kawalan menyebabkan kenderaannya terbabas ke kiri jalan dan terlanggar sebuah motosikal lain jenis Modenas CT
100 yang berada di lorong kiri jalan,” katanya.
Beliau berkata, Salleh maut di tempat kejadian selepas diseret sejauh 26 meter, manakala penunggang motosikal Modenas CT 100 hanya mengalami kecederaan ringan.
“Pemandu kereta tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, isteri mangsa, Fatimah Salleh, 53, dari Kampung Dusun Melintang, Padang Hiliran, di sini, berkata, arwah suaminya meninggalkan rumah pada jam 9 pagi, berbekalkan peralatan membaiki perkakas elektrik.
Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa suaminya itu kira-kira jam 9.15 pagi setelah didatangi dua penduduk kampung, memaklumkan kemalangan yang berlaku beberapa meter dari kediaman mereka.
“Apabila saya sampai, dia sudah tak bernyawa sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.
“Saya tidak sangka, perubahan sikapnya sehari sebelum kejadian yang marah-marah apabila ditanya sesuatu adalah petanda dia akan pergi meninggalkan kami. Memang sedih namun saya redha dengan pemergiannya,” katanya.
Jenazah mangsa kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Dusun Melintang, di sini, selepas solat Asar

Sinar

No comments:

Post a Comment

ShareThis