Pages

SPONSOR

Followers

sponsor

Monday, December 3, 2012

Kereta terbabas dirempuh bas: Gopeng berdarah lagi

image

GOPENG – Seorang remaja maut dalam satu nahas apabila kereta yang dinaikinya terbabas ke pembahagi jalan sebelum dirempuh oleh sebuah bas ekspres di Kilometer 293.8 Lebuh Raya Utara Selatan menghala Selatan berhampiran susur keluar Gopeng , semalam

Dalam kemalangan kira-kira jam 3.50 pagi itu, mangsa yang juga pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman, Chai Yoke Ling, 18, maut di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, kereta jenis Mercedes Benz dari arah Ipoh dikatakan hilang kawalan ketika cuba memotong bas ekspres dari arah kiri.
Menurutnya, kereta berkenaan melanggar pembahagi jalan lalu berpusing beberapa kali sebelum dilanggar oleh bas ekspres dari arah sama.
“Dalam kejadian ini, empat mangsa dalam kereta Mercedes Benz termasuk pemandu cedera parah dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan kecemasan.
“Manakala, empat penumpang bas berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan luar sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur,” katanya.
Kong Soon berkata, rempuhan kuat menyebabkan kereta berkenaan remuk manakala, bas terbabas ke bahu jalan dan terbalik di longkang berhampiran.
“Pemandu bas berusia 56 tahun mengalami kecederaan pada paha kiri akibat ditusuk kaca cermin. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat,” katanya.
Mangsa yang cedera parah merupakan pelajar kolej sama dalam bidang Pengurusan Perniagaan, iaitu Cheah Lok Shien, 20; Lee Boon Leong, 21; Liew Wai Keat, 20 dan Ho Kwai Lan, 20. Lokasi nahas kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian yang meragut nyawa empat pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel), dua minggu lalu.
Nyawa masih panjang
“Nasib baik saya tidak terpelanting keluar walaupun cermin di tepi saya pecah,” kata salah seorang penumpang bas yang juga saksi kejadian, Mohd Asyraf Nasir, 21.
Menurutnya, dia yang duduk di belakang pemandu bas sempat berpaut pada besi ketika bas merempuh kereta dinaiki mangsa.
“Saya bersama sepupu, Danial Syami Shaha, 14, dalam perjalanan menuju ke rumah sepupu di Kuala Lumpur.
“Saya nampak kereta itu cuba memotong kami dari lorong kiri. tiba-tiba dia terus merempuh pembahagi jalan dan berpusing di tengah jalan.
Selepas itu saya dengar bunyi brek dan dentuman,” katanya.
Bersih rumah menanti kehadiran anak
Ibu mangsa yang enggan dikenali tidak dapat menerima kenyataan anak kesayanganya yang berhasrat pulang ke rumah mereka di Malim Nawar, bagi menyiapkan tugasan kolej bersama rakan-rakannya maut dalam kejadian semlaam.
Menurutnya, dia telah mengemaskan bilik tidur anaknya setelah mendiang berjanji akan pulang menghabis cuti hujung minggu bersama keluarga.
“Dia telefon memberitahu hendak menyiapkan tugasan untuk dihantar, Isnin depan.
“Saya tidak tahu dia keluar mengikut rakan-rakan. Kalau dia tidak keluar, pasti tidak berlaku kejadian seperti ini. Kami dah berjanji untuk melakukan aktiviti bersama,” katanya di perkarangan rumah mayat, Hospital Kampar

Sinar

No comments:

Post a Comment

ShareThis