Pages

SPONSOR

Followers

sponsor

Thursday, December 6, 2012

Kenderaan polis dirempuh

image (4)

RAUB – Cubaan seorang lelaki melarikan diri daripada sekatan jalan raya dekat Persimpangan Krau pada jam 3.45 pagi semalam tidak berjaya apabila dia berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, pada awalnya lelaki berusia 20-an yang berasal dari Selangor itu memberi kerjasama dengan memberhentikan kenderaan ketika menghampiri sekatan jalan raya tersebut.
Namun katanya, apabila polis meminta menyerahkan dokumen, lelaki itu terus memecut kenderaannya menghala ke bandar Raub.
“Kita terus menghubungi bilik gerakan polis untuk menggerakkan semua anggota bertugas bagi menjejaki kereta Proton Putra dipandu lelaki tersebut.
“Sebuah MPV kemudiannya mengejar lelaki berkenaan sehingga tiba ke satu lagi sekatan jalan raya dekat Cheroh kira-kira jam 4 pagi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.
Rempuh kenderaan polis
Wan Mohd Samsudin berkata, sepanjang melarikan diri, lelaki itu tidak menyalakan lampu kenderaan sehingga dia merempuh belakang kereta polis jenis Proton Waja yang diletakkan di tepi jalan berhampiran sekatan jalan raya di Cheroh itu.
Katanya, akibat rempuhan kuat, kenderaan remuk teruk dan suspek didapati pengsan serta mengalami kecederaan ringan.
“Kita bernasib baik apabila tiada anggota dan pegawai dalam kenderaan polis itu kerana mereka memantau sekatan jalan raya.
“Lelaki itu dibawa ke Hospital Raub untuk pemeriksaan dan dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh bagi menjalani rawatan lanjut,” katanya.
Dikehendaki polis
Wan Mohd Samsudin berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu dikehendaki polis bagi empat rekod jenayah dan mempunyai empat lagi rekod jenayah lampau termasuk cubaan membunuh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, curi kenderaan, dadah dan menghalang tugas penjawat awam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam kereta itu turut menemui dadah jenis syabu dan beberapa peralatan dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah.
“Rekod kereta Proton Putra dipandu suspek diperiksa dan mendapati ia adalah kenderaan dicuri pada bulan lalu dekat Bukit Jelutong.
“Kes ini masih disiasat dan kita akan mendapatkan butiran lanjut daripada suspek selepas dia dibenarkan keluar dari hospital,” katanya.
Wan Mohd Samsudin berkata, polis akan terus melaksanakan rutin operasi sekatan jalan raya secara berkala untuk meningkatkan tahap keselamatan penduduk.

Sinar

No comments:

Post a Comment

ShareThis