Pages

SPONSOR

Followers

sponsor

Thursday, December 27, 2012

Isteri tinggal nota akhiri hubungan


HULU SELANGOR - Seorang isteri bertindak keluar dari rumah membawa dua anaknya bersama wang tunai, barangan kemas dan komputer riba, dipercayai kerana hasutan lelaki lain.

Suaminya, Abdul Rahman Abdullah @ Selva Kumar, 38, berkata, isterinya, Zulaikha Kamal Hashim Jayakumar, 24, , bertindak demikian pada 3 Disember lalu ketika dia keluar menjual sayur-sayuran di Pasar Tanjung Malim, Perak.

“Saya keluar awal pagi dan balik rehat kira-kira jam 1.30 petang, namun ketika itu isteri dan anak-anak sudah tiada di rumah.

“Hanya satu kertas nota ditinggalkan atas meja makan di ruang tamu yang melarang mencarinya lagi, malah dia mahu menjaga anak-anak kami dan menyuruh saya balik kampung,” katanya yang ditemui ketika membuat aduan kepada Pengerusi Makkal Sakti, MP Subramaniam, semalam.

Menurutnya, komputer riba yang dibawa bersama isterinya itu baru sebulan dibeli atas desakan ingin melayari internet.

"Saya pernah menyorokkan kabel internet kerana bimbang perbuatan dan hubungan curang isteri menerusi laman sosial.

"Namun secara senyap dia meminjam kabel internet daripada jiran," katanya.

Abdul Rahman berkata, dia menyedari perubahan isterinya dua hari sebelum kejadian apabila wanita itu kerap melayari laman sosial dan dilihat seolah-olah merahsiakan sesuatu.

Katanya, dia mengesyaki isterinya mempunyai hubungan dalam talian dengan lelaki lain sehingga mendorongnya keluar dari rumah.

“Sebenarnya, bukan sekali isteri bertindak begini kerana dua tahun lalu dia pernah keluar dan membawa anak bersama tanpa minta izin juga dipercayai mengikut lelaki lain.

“Tetapi, kali ini dia pergi terlalu lama dan gagal dikesan kerana talian telefonnya turut disekat,” katanya.

Menurutnya, dia bimbangkan keselamatan anak-anaknya kerana sejak berumah tangga lima tahun lalu, isterinya gagal menjaga mereka dengan baik malah dikatakan tidak mampu menguruskan masa dan tanggungjawab di rumah.

“Saya bimbangkan anak-anak saya. Kalau boleh saya minta pihak berkuasa mengesan nombor telefon terakhir yang dihubungi isteri kerana dari situ kita tahu siapa orang yang bersamanya," katanya.
Sumber : Sinar

No comments:

Post a Comment

ShareThis