Pages

SPONSOR

Followers

sponsor

Friday, December 7, 2012

3 kemalangan dalam 7 jam


SUNGAI PETANI – Gara-gara tidak menyedari jalan pintas dari arah Kampung Bakar Bata ke Taman Perusahaan Ringan Bakar Arang sedang dinaik taraf, tiga kemalangan berlaku secara berasingan dalam tempoh tujuh jam di lokasi terbabit.

Penduduk, Yusri Ishak, 38, berkata, tiga kemalangan itu membabitkan penunggang motosikal yang tidak menyedari bahawa saliran air di kawasan itu sedang dalam proses naik taraf berikutan keadaan gelap terutama waktu malam.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku pada 11.30 malam kelmarin apabila seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan akibat terlanggar bongkah konkrit yang baru diletakkan.

“Begitu juga dengan kejadian kedua yang berlaku jam 2 pagi tadi (semalam), di mana seorang remaja terpelanting apabila terlanggar kawasan sama,” katanya.

Yusri berkata, sebaik dimaklumkan selepas kejadian kedua, dia segera ke lokasi dan mendapati mangsa dalam keadaan terlentang serta hampir pitam, selain mengalami kecederaan di bahagian belakang, tangan dan kaki.
“Kejadian ketiga pula berlaku kira-kira 6.30 pagi tadi (semalam), di mana seorang pekerja kilang yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dilaporkan mengalami patah tulang belakang dan cedera di pergelangan tangan,” katanya.

Katanya, ketiadaan papan tanda jelas dan halangan berdekatan lokasi terbabit menyebabkan mangsa tidak menyedari bahawa jalan berkenaan sedang dinaik taraf.

“Sepatutnya pihak kontraktor perlu menutup terus laluan pintas ini dari sebarang kenderaan, kerana ia membahayakan pada waktu malam,” katanya.

Katanya, itu adalah jalan pintas digunakan penduduk Kampung Sungai Pasir, Kampung Bakar Bata dan kawasan perumahan sekitar untuk ke pusat bandar Sungai Petani.

Pemilik kedai, Tan Kian Hock berkata, kemudahan lampu jalan di sekitar kawasan perusahaan dan laluan pintas sering bermasalah mampu mengundang bahaya kepada pengguna.

“Saya sendiri ternampak beberapa kemalangan berlaku kerana pengguna tidak tahu jalan ini sedang dinaik taraf disebabkan ketiadaan tanda amaran atau kon keselamatan.

“Tetapi selepas berlaku tiga kemalangan barulah mereka meletakkan kon dan menutup sepenuhnya laluan ini pagi ini (semalam),” katanya.

Sementara  itu, Jurucakap Pejabat Daerah Kuala Muda berkata, aspek keselamatan sentiasa diambil berat oleh kontraktor yang menjalankan kerja-kerja naik taraf memasang kelubung bagi mengatasi masalah saliran yang sering berlaku.
“Kita menerima dua laporan daripada kontraktor, kon dan tanda amaran yang diletakkan disedari hilang apabila mereka ingin mula bekerja keesokan hari.
“Kita percaya ada sesetengah pengguna masih menggunakan laluan pintas berkenaan, walaupun ditutup kerana berfikiran mahu cepat sampai ke destinasi.
“Bagaimanapun kita telah menutup sepenuhnya kawasan berkenaan dari diceroboh demi keselamatan semua pihak,” katanya.

Tinjauan semalam mendapati, papan tanda Awas Jalan Ditutup hanya diletakkan di satu sudut, bagaimanapun, jalan berkenaan sudah ditutup sepenuhnya menggunakan pita keselamatan dan kon oleh pihak terbabit.
Sumber : Sinar

No comments:

Post a Comment

ShareThis