Pages

SPONSOR

Followers

sponsor

Thursday, November 1, 2012

'Keropok lekor juadah terakhir'


MARANG – “Arwah ceria sepanjang lebih sejam berada di kolam pancing di Kampung Panji, Kuala Terengganu dan kami sempat makan keropok lekor dan minum air batu campur bersama sebelum pulang semula ke Marang,” kata Mohd Arif Hilmi Rosmadi, 16.
Mohd Arif adalah rakan kepada Abdul Halim Zulkifli, 16, yang maut selepas motosikal ditungganginya terbabit
dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 13 Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang kira-kira jam 5.15 petang di sini, kelmarin.
Mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Safiah Murni di sini, dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu terlanggar belakang sebuah lori yang membuat pusingan U berpatah balik ke Bukit Payung dari Kuala Terengganu.
Menurut Mohd Arif, sebelum kejadian itu mereka berlima berumur antara 15 hingga 23 tahun menunggang tiga buah motosikal termasuk Abdul Halim yang menunggang sendirian, bertolak pulang dari kolam pancing tersebut kira-kira jam 4.35 petang.
“Dia (arwah) terlanggar belakang lori itu lalu terperosok di bawah lori sebelum terjatuh di atas jalan apabila lori itu bergerak. Salah seorang rakan kami segera memberhentikan motosikal lalu menahan sebuah kereta untuk membawanya ke klinik.
“Selepas berjaya menahan sebuah kereta dia (arwah) kemudiannya dikejarkan ke klinik kesihatan berdekatan, manakala pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan pula memberhentikan kenderaannya di tepi jalan,” katanya.
Bagaimanapun, Abdul Halim pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa di sini disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bukit Payung.
Sementara itu, ibu mangsa, Norasmawati Khamis, 48, berkata, dia hanya mengetahui kejadian kemalangan menimpa anak keempatnya itu selepas perkara itu dimaklumkan kepadanya melalui panggilan telefon, lalu bergegas ke klinik tersebut.
“Tiada apa yang dapat saya fikirkan ketika itu. Saya terus bertolak dari rumah ke klinik itu selepas dihubungi rakan anak (arwah) untuk melihat bagaimana keadaan anak saya itu,” kata ibu lapan anak yang masih bersedih dengan kehilangan anak lelakinya itu.
Ketika ditanya adakah arwah berkelakuan pelik sebelum kejadian itu berlaku, katanya, arwah anaknya itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik dan jika ada pun dia mungkin tidak perasan kerana tujuh daripada lapan anaknya tinggal bersama.
“Sukar memastikan jika ada anak menunjukkan kelainan sikap daripada biasa kerana apabila mempunyai keluarga besar sudah menjadi kebiasaan seorang ibu berhadapan pelbagai karenah anak setiap hari,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika mengesahkan kejadian berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
Pihaknya masih menjalankan siasatan dan kes kemalangan berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment

ShareThis