Pages

SPONSOR

Followers

sponsor

Monday, October 8, 2012

Puting beliung landa Kemaman

image (1)

KEMAMAN – Sekurang-kurangnya 417 rumah di lebih 20 kampung di daerah ini rosak diserang puting beliung dan hujan air batu, sehingga memaksa 17 keluarga di Taman Bestari, Bukit Kuang, Kijal berpindah ke pusat pemindahan….

Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang kelmarin.

Daripada jumlah itu, kawasan Dun Chukai paling terjejas dengan 173 rumah mengalami kerosakan atap, diikuti Dun Air Putih (127 rumah) dan Dun Kijal (117 rumah).

Pusat pemindahan di Balai Raya Rumah Murah Bukit Kuang 2 terpaksa dibuka pada sebelah malam untuk menempatkan 17 keluarga membabitkan 85 mangsa dari Taman Bestari, sementara sebuah keluarga di Kampung Tempurung terpaksa menumpang rumah saudara berikutan atap di rumah masing-masing diterbangkan puting beliung dan rumah pula dibanjiri air hujan.

4 beranak berpeluk ketakutan

SURI rumah dari Taman Bestari, Nik Rozita Zahari, 34, berkata, dia meluru keluar dari rumah bersama tiga anak apabila rumahnya banjir dimasuki air hujan.

Menurutnya, dia terkejut apabila melihat pusaran angin menerbangkan kepingan atap asbestos kira-kira tujuh meter dari hadapan rumahnya.

“Dari pusaran angin itu, jatuh banyak kepingan atap di hadapan rumah kami dan kami juga melihat ketulan air batu turun bersama-sama air hujan. Saya bersama tiga anak waktu itu berpeluk ketakutan. Ketika itu saya fikir mungkin kami empat beranak akan mati,” katanya.

Menurutnya, dia menyedari atap rumahnya sudah tiada apabila air hujan keluar dari celah siling sehingga siling rumahnya dan kipas hampir runtuh dilimpahi air hujan.

Anaknya, Nur Khumaira Ashira Mohd Yusof, 12, berkata, berikutan kejadian itu, rumah mereka dibanjiri air hujan separas buku lali namun dia dan ibunya tidak berani masuk untuk menyelamatkan barang berharga kerana dikhuatiri terkena renjatan elektrik.

“Barang-barang elektrik hanya dikeluarkan apabila ayah saya pulang ke rumah. E-book dan buku sekolah saya semua rosak terkena air hujan,” kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kuang ini sedih.

Nampak pusaran angin hitam
SEMENTARA itu, mangsa dari Kampung Jabor Kubur, Chukai yang juga pemilik butik pengantin, Muniza Ibrahim, 32, berkata, dia turut melihat pusaran angin hitam datang bermula dari arah kawasan kubur sehingga sebuah pokok besar dalam kawasan kubur itu berpusing dan tumbang tidak jauh dari premis perniagaannya.

“Puting beliung itu datang dari arah kubur dan melewati hadapan butik pengantin saya. Waktu itu, saya berada di hadapan kedai bersama beberapa jiran yang berkumpul di kedai saya sebab rumah mereka sebelum itu terlebih dahulu diserang pusaran angin terbabit.

“Kejadian berlaku jam 2 petang. Pada waktu itu hujan renyai-renyai diikuti guruh. Lima minit kemudian angin bertiup kencang. Selepas itulah kami semua nampak pusaran angin hitam dalam jarak kira-kira 10 meter dari kami, pusaran angin itu melewati butik saya sehingga kedai dan kerusi di kedai makan bersebelahan premis perniagaan diterbangkan angin ke tengah jalan di hadapan premis kami. Waktu itu kerana terlalu takut saya berteriak ‘ALLAH Hu Akbar’,” katanya yang mengakui kejadian itu adalah bencana pertama seumpamanya dilaluinya sepanjang hidup.

Muniza berkata, hujan ketika itu juga luar biasa kerana atap premis perniagaannya bising ditimpa ketulan air batu bersaiz besar sedikit daripada guli.

Gara-gara itu, kira-kira 10 keping atap butiknya tercabut sementara rumahnya yang terletak tidak jauh dari butik juga turut mengalami kerosakan teruk.

Bunyi seperti tembakan pistol

DALAM pada itu, seorang lagi mangsa, juga dari Kampung Jabor Kubur, Mohd Shukri Abdullah, 37, berkata, semasa kejadian dia yang sedang menonton televisyen terkejut apabila mendengar seperti tembakan pistol dilepaskan.

Menurutnya, ia adalah gara-gara serangan angin kuat membuatkan atap zink rumahnya terkopek sebelum tercabut dan terbang.

“Saya dengar bunyi macam tembakan pistol kerana paku zink tercabut satu-satu. Waktu itu angin terlalu dahsyat berserta kilat,” katanya.

Bantuan segera diberi

DALAM pada itu, bencana itu segera mendapat perhatian Ahli Parlimen Kemaman merangkap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyalurkan bantuan sebanyak RM500 seorang kepada sejumlah mangsa terlibat di Chukai pada majlis yang diadakan di Tadika Kemas Jabor Kubur, petang  semalam.

Katanya, pihaknya akan berikhtiar bersama Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kemaman untuk menilai kerosakan yang dialami penduduk dengan pembahagian bantuan segera itu akan diberikan kepada semua mangsa.

Sinar

No comments:

Post a Comment

ShareThis