Pages

SPONSOR

Followers

sponsor

Saturday, September 22, 2012

WWF lepas 80 ekor anak tuntung di Sungai Kampung Mangkuk

SETIU - Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia cawangan Terengganu dengan kerjasama Persatuan Wanita Setiu (Pewanis) hari ini melepaskan 80 ekor anak tuntung ke Sungai Kampung Mangkuk di sini, sebagai usaha pemuliharaan spesis haiwan sungai itu....

   Ketua Program Pemuliharaan Penyu WWF Terengganu, Rahayu Zulkifli berkata program itu juga bertujuan meningkatkan populasi spesis tergolong dalam kumpulan reptilia seperti penyu, labi-labi dan kura-kura itu, yang kini dikategorikan sebagai sangat terancam.
   
"Bermula 2009, WWF telah memulakan aktiviti pemuliharaan tuntung dengan melakukan pemantauan di pantai, melindungi telur tuntung, mengumpul data dan menjalankan kajian mengenai tuntung yang terperangkap dalam peralatan menangkap ikan.
   
"WWF juga meningkatkan pelbagai program kesedaran kepada orang ramai, khususnya penduduk Kampung Mangkuk yang menjadi habitat terbesar tuntung di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas program pelepasan tuntung yang turut dihadiri kira-kira 300 penduduk kampung berkenaan.
   
Dalam tempoh tiga tahun ini, WWF telah menjalankan program jelajah di Kampung Mangkuk, Kampung Penarik dan Kampung Penarik Baru serta mengadakan lawatan ke lapan sekolah sepanjang kawasan pesisir pantai di Setiu.
 
Risalah mengenai pemuliharaan tuntung juga telah diedarkan kepada pelancong, pengusaha hotel serta pemilik tempat peranginan dan penduduk tempatan sebagai antara kempen pemuliharaan tuntung.
   
Rahayu berkata ancaman utama tuntung ialah pemungutan telur yang dilakukan secara haram serta kematian tuntung akibat terperangkap dalam jaring nelayan.
   
"WWF telah membuat satu skim membeli balik telur tuntung daripada pemungut telur berlesen dan ia berjaya melindungi sejumlah besar telur tersebut.
   
"Jumlah telur dibeli dari Kuala Baru Utara dan Mengabang Sekepeng di sini telah meningkat kepada 101 sarang pada tahun lepas berbanding hanya 10 sarang yang dijual kepada WWF pada 2009," katanya.
   
Peningkatan itu, beliau berkata membuktikan usaha WWF kini semakin berhasil dalam usaha pemuliharaan tuntung di Terengganu.
   
Selain Terengganu, tuntung juga boleh dijumpai di Sungai Perak, Pahang dan Negeri Sembilan. Musim bertelur adalah dari Oktober hingga Januari.
   
Tuntung di Malaysia merupakan haiwan eksotik perlindungan penuh di bawah Akta Hidupan Liar 2010 yang melarang mana-mana orang daripada menangkap, memakan serta menjual tuntung dan telurnya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

ShareThis