Pages

SPONSOR

Followers

sponsor

Sunday, September 23, 2012

Tengkorak sah milik warga emas hilang 15 Sept

image (2)

PEKAN - Polis mengesahkan tengkorak dan beberapa bahagian anggota badan yang ditemui di kawasan belukar berhampiran Sungai Miang, petang kelmarin dan semalam, milik warga emas, Sh Othman Sh Bakar, 72, yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu…..

Pengesahan dibuat berdasarkan barang-barang yang turut dijumpai di lokasi seperti Mykad, gigi palsu, kopiah dan cermin mata milik mangsa yang dipercayai dibunuh pada hari dia dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, operasi mencari semalam turut menemui sebahagian lagi anggota badan mangsa di sekitar kawasan tempat kejadian.
Menurutnya, anggota badan mangsa yang ditemui terpisah mungkin akibat dimakan binatang liar yang banyak terdapat dalam kawasan belukar berkenaan.
Katanya,  operasi mencari dilakukan dengan kerjasama beberapa agensi seperti Bomba dan Penyelamat, Rela, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan penduduk kampung.
“Hasil maklumat yang diperoleh daripada dua suspek berumur 26 dan 35 tahun, kita berjaya mengesan tempat mangsa dibunuh sebelum ditinggalkan iaitu kira-kira 15 kilometer dari tempat warga emas itu bekerja iaitu di Peramu Jaya 1.
“Pemeriksaan yang dilakukan hasil petunjuk yang diterima berjaya menemukan satu tengkorak manusia di tepi tali air dan badan termasuk beberapa bahagian anggota lain,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah, semalam.
Yahaya berkata, Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan masih melakukan siasatan lanjut berhubung penemuan tengkorak, badan dan beberapa anggota lain yang dipercayai milik mangsa.
Beliau berkata, salah seorang suspek  adalah rakan mangsa yang bekerja sebagai penjaga sangkar ikan di daerah Pekan dan dia mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun pada 2004.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai kes samun. Suspek yang berasal dari Johor kini direman selama dua minggu dan akan didakwa mengikut Seksyen 302 kerana membunuh.
“Polis mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi maklumat hingga tertangkapnya suspek kerana tanpa bantuan mereka sukar untuk kita mengesan mereka yang terlibat serta mayat mangsa.
“Dengan kejayaan ini kita menganggap kes ini telah selesai dan tindakan seterusnya diserahkan kepada Jabatan Forensik HTAA untuk melakukan ujian DNA ke atas tengkorak dan semua anggota badan yang ditemui,” katanya.
Sementara itu Sinar Harian cuba menghubungi anggota keluarga mangsa bagi mendapatkan maklum balas, namun mereka enggan mengulas dan berharap semua pihak dapat memahami situasi mereka.
Bagaimanapun mereka reda dengan tragedi yang berlaku dan berterima kasih kepada polis serta semua pihak yang membantu menyelesaikan kes kehilangan mangsa.
Kelmarin, Sinar Harian  melaporkan kehilangan mangsa, Sh Othman selepas menemui dua lelaki yang kononnya ingin berbincang mengenai proses menyewa lot kedai bahagian atas bangunan sebuah premis menjual alat binaan di Peramu Jaya kira-kira jam 1 tengah hari, Sabtu lalu.

Sinar

No comments:

Post a Comment

ShareThis